Menteri Besar Incorporated (Perak) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan ekonomi sekaligus pemelihara warisan negeri apabila dua inisiatif strategiknya iaitu Butik Cura Batik dan Amanjaya Travels Sdn. Bhd., dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, di Basco Avenue @ Kepayang, Ipoh.
Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; Datuk Bandar Ipoh, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah; Pegawai Daerah dan Tanah Kinta, Tuan Zulhisham bin Ahmad Shukori; Pemangku Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Tuan Abdul Halim bin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc.; serta para dif majlis.
Pelancaran kedua-dua inisiatif di bawah anak syarikat milik penuh MB Inc. ini menandakan lonjakan penting dalam usaha berterusan MB Inc. untuk menyeimbangkan agenda pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab memelihara khazanah seni, budaya dan warisan Negeri Perak yang tidak ternilai.
Cura Batik diperkenalkan sebagai jenama premium yang mengangkat keunggulan Batik Perak bermotifkan Bunga Kelumpang sebagai lambang kebanggaan dan identiti rasmi negeri dalam bentuk yang asli serta berprestij tinggi.
Menerusi penubuhan Butik Cura Batik, MB Inc. bukan sahaja mengangkat martabat seni warisan tempatan ke tahap yang lebih tinggi, malah turut menjana nilai ekonomi yang mampan bagi para penggiat industri kraf negeri.
Dalam majlis yang sama, YAB Menteri Besar Perak turut merasmikan Amanjaya Travels yang beroperasi sebagai Destination Management Company (DMC) bagi mempromosikan keindahan, warisan serta keunikan pengalaman pelancongan eksklusif yang ditawarkan oleh Negeri Perak.
Seterusnya, YAB Menteri Besar Perak turut menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MB Inc. dan Kraftangan Malaysia, selain menyertai sesi lawatan ke bengkel Cura Batik bagi meninjau proses mencetak Batik Perak serta proses rawatan sisa air membatik yang dikendalikan oleh warga kerja MB Inc.