Amanjaya Global Sdn. Bhd. (AG) dan Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) telah mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sesi Pemeriksaan Berkala ke atas Lesen Menteri Besar Incorporated (Perak) Tahun 2026 yang dikendalikan oleh Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia).
Pemeriksaan berkala tahunan ini merupakan mekanisme penyeliaan ketat yang dilaksanakan oleh Atom Malaysia bagi menilai prestasi serta tahap pematuhan syarikat-syarikat berlesen di bawah kawal selianya.
Melalui proses penilaian yang teliti dan menyeluruh, kedua-dua AG dan TML berjaya meraih keputusan ‘Sangat Memuaskan’, iaitu tahap pencapaian tertinggi yang boleh diperoleh dalam pemeriksaan tersebut.
Sejak terlibat dalam aktiviti tenaga atom di bawah kawalan dan kawal selia Atom Malaysia bermula tahun 2018 hingga 2026, MB Inc. telah melalui sebanyak 10 sesi audit berkala dan pembaharuan lesen, dengan secara konsisten memperoleh keputusan ‘Sangat Memuaskan’ pada setiap pemeriksaan.
Pencapaian ini membuktikan komitmen teguh kedua-dua anak syarikat MB Inc. terhadap piawaian keselamatan, kualiti serta tadbir urus sinaran dan radiologi yang terbaik, sekaligus mencerminkan budaya pematuhan yang diamalkan secara bertanggungjawab dalam setiap aspek operasi syarikat.