Menteri Besar Incorporated (Perak) telah melaksanakan Sesi Latihan dan Ujian Kemahiran Menembak Tahun 2026 bagi anggota Unit Polis Bantuan (PB) MB Inc. Perak di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, baru-baru ini.
Program ini bermula dengan sesi taklimat teknikal mengenai Asas Pengendalian Senjata Api, merangkumi aspek keselamatan, tatacara penggunaan serta kawalan senjata, sebelum para peserta menjalani sesi praktikal ujian menembak.
Sesi praktikal ini memberi penekanan terhadap tahap kecekapan, ketepatan dan disiplin anggota PB MB Inc. Perak bagi memastikan setiap tugasan dilaksanakan selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
MB Inc. Perak sentiasa komited memperkukuhkan kompetensi serta kesiapsiagaan anggota PB menerusi latihan dan pembangunan kapasiti yang berterusan, sejajar dengan usaha menyokong keselamatan dan kelancaran operasi organisasi.
Sempena program ini juga, MB Inc. Perak menyampaikan cenderamata kepada wakil anggota polis IPK Perak sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan dalam memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang pelaksanaan sesi tersebut.