DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1448H/2026M.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Bersempena tema sambutan "Cetusan Hijrah, Inspirasi Perubahan – Aspirasi Pembaharuan", kita diajak menghayati hakikat hijrah sebagai satu perjalanan ke arah perubahan yang lebih bermakna, selaras dengan pelaksanaan amanah secara penuh tanggungjawab demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Sambutan pada tahun ini diimarahkan oleh kehadiran lebih 1,000 hadirin dan dimulakan dengan alunan zikir Asma'ul Husna serta bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebagai pengisian rohani menyambut ketibaan tahun baharu Islam.
Pada majlis tersebut, DYMM Tuanku berkenan menyampaikan penganugerahan kepada YBhg. Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, bekas Mufti Negeri Perak yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak 1448H atas jasa, ilmu dan sumbangan besar beliau kepada agama, masyarakat dan negeri.
Selain itu, DYMM Tuanku turut berkenan menyampaikan anugerah-anugerah lain, iaitu Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq (Tokoh Ar-Ridzuan), Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita) dan Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) kepada para penerima yang telah berbakti dan menabur jasa kepada agama, bangsa, negeri dan negara.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak