DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Pada majlis itu, DYMM Tuanku telah berkenan menyempurnakan titah perasmian, menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran rasmi, seterusnya berkenan memasyhurkan pusat ini dengan nama Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah.
Pusat rehabilitasi ini merupakan fasiliti rehabilitasi terbesar di Asia Tenggara, sekaligus menjadi mercu tanda baharu dan pemangkin kemajuan dalam bidang perubatan rehabilitasi negara, dengan keunikan tambahan yang menggabungkan elemen warisan budaya Negeri Perak menerusi seni kraf Tekat Timbul Benang Emas pada reka bentuknya.
Pusat ini merangkumi 13 blok utama yang lengkap dengan kemudahan penginapan, Traditional and Complementary Medicine Centre (TCMC) serta Motorcycle Safety Training Track (MSTT) di bawah Centre for Applied Prevention in Social Security (CAPSS).
Selain itu, pusat ini turut dilengkapi kemudahan canggih bertaraf dunia merangkumi perkhidmatan neuro-robotik dan sibernik yang memanfaatkan teknologi Cyberdyne Hybrid Assistive Limb, Metamotus Galileo Advanced Biomechanics Rehabilitation Platform dan Advanced Movement Analysis Laboratory.
Dengan kehadiran 65 unit peralatan Cyberdyne, pusat ini sekaligus diiktiraf sebagai pusat terbesar di dunia dari segi bilangan unit Hybrid Assistive Limb, di samping menawarkan 151 jenis perkhidmatan rehabilitasi komprehensif yang merangkumi rehabilitasi pediatrik, geriatrik, Advanced Return-to-Work (RTW) serta rehabilitasi vokasional.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak