Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima lawatan kerja daripada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi tujuan pemeriksaan, pemantauan serta sesi libat urus bersama Unit Polis Bantuan MB Inc. Perak.
Lawatan yang diketuai oleh Ketua Cawangan JPJKK IPD Ipoh, ASP Wan Zahurin bin Zaharin telah disambut oleh Encik Hafizul Ridzwan bin Yahya selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak, berserta para pegawai daripada JPJKK IPD Ipoh dan MB Inc. Perak.
Lawatan ini secara khususnya bertujuan menilai tahap pematuhan Unit Polis Bantuan MB Inc. Perak merangkumi aspek pengurusan, dokumentasi dan operasi, selaras dengan keperluan serta garis panduan yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Antara perkara utama yang menjadi fokus penilaian ialah semakan rekod dan dokumentasi operasi, pemeriksaan peralatan serta aset keselamatan, pengurusan anggota Polis Bantuan, laporan insiden, jadual penugasan serta aspek pematuhan yang berkaitan dengan operasi harian Unit Polis Bantuan MB Inc. Perak.
MB Inc. Perak merakamkan penghargaan kepada pihak JPJKK IPD Ipoh atas komitmen berterusan dalam membimbing dan memperkasakan peranan Polis Bantuan, serta berharap agar kerjasama yang terjalin ini akan terus diperkukuh demi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, teratur dan kondusif.