DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Lentera Batik: Menyinari Seni Adibusana Warisan Perak anjuran UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Keberangkatan DYMM Tuanku disambut oleh Isteri kepada YAB Menteri Besar Perak, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, YABhg. Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan; serta Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff.
Hadir sama, Isteri kepada YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Seri Rasiah Mohd Nor; Naib Presiden Persatuan Batik Malaysia, YM Dato’ Paduka Datin Seri Sharifah Hishmah Shahabudin; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak.
Turut hadir, para pereka dan tokoh terkemuka industri fesyen negara, antaranya Dato’ Radzuan Radziwill, Salikin Sidek, Bon Zainal Harun dan Rasta Rashid, bersama lebih 4,000 hadirin yang terdiri daripada tetamu jemputan, warga seni negara serta warga kakitangan dan pelajar UPSI.
Satu lembaran bersejarah dalam dunia seni tekstil negeri telah terukir menerusi Majlis Lentera Batik, sebuah inisiatif kolaboratif antara MB Inc. Perak, Kraftangan Malaysia dan UPSI yang lahir daripada semangat luhur untuk memartabatkan Batik Perak sebagai identiti seni tekstil negeri yang unggul, bernilai tinggi dan kaya dengan kedalaman sejarah.
Seusai majlis, DYMM Tuanku telah berkenan berangkat melawat reruai Butik Cura Batik oleh MB Inc. Perak selaku peneraju dalam usaha mengangkat martabat Batik Perak, dengan pelbagai produk pilihan yang dipamerkan memancarkan keindahan seni tekstil sekaligus memastikan kelangsungan warisan adibusana negeri ini.
Majlis turut diisi dengan Majlis Menandatangani dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MB Inc. Perak dan UPSI bagi memperkukuh jalinan kerjasama strategik dalam memperkasakan pembangunan Batik Perak, seterusnya menyumbang kepada pemerkasaan industri seni warisan negeri secara menyeluruh.
Kejayaan penganjuran majlis ini mencerminkan kerjasama strategik antara MB Inc. Perak, Kraftangan Malaysia dan UPSI, yang masing-masing berperanan sebagai tonggak penting dalam menghubungkan warisan budaya dengan masa hadapan, khususnya dalam melestarikan dan memperkasa Batik Perak sebagai kebanggaan negeri.