DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Semasa berlangsung majlis, DYMM Tuanku telah berkenan menyempurnakan lafaz perasmian, seterusnya berkenan menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran rasmi, sebelum berkenan melawat ruang pameran sambil berangkat menyantuni para pelajar SMTDR Lenggong.
Pembinaan SMTDR Lenggong ini merupakan cerminan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem pendidikan Islam berteraskan al-Quran, sekaligus berfungsi sebagai wadah utama melahirkan generasi ulul albab yang bukan sahaja unggul dalam menghafaz al-Quran, malah teguh mengamalkan nilai-nilai al-Quran dalam setiap aspek kehidupan.
Dengan tegaknya SMTDR Lenggong di bumi Lenggong ini, semoga ia menjadi suluh pendidikan Islam yang memancarkan cahaya ilmu dan taqwa, melahirkan generasi yang bukan sekadar huffaz al-Quran, tetapi pemimpin peradaban yang membawa kemuliaan Islam ke persada dunia.