YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Bertemakan “Hutan dan Ekonomi”, tema ini menyampaikan mesej yang jelas bahawa khazanah hutan negeri bukan sekadar warisan alam yang wajib dipelihara, malah berpotensi besar menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan apabila diurus secara bertanggungjawab.
Hadir sama, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Dato’ Mohd Basri bin Abdul Manaf; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Dalam majlis yang sama, Buku Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Perak bagi Tempoh 2026–2035 turut dilancarkan, memuatkan hala tuju serta pelan tindakan yang komprehensif bagi memastikan sumber hutan negeri terus diurus dengan penuh integriti dan kelestarian.
Menteri Besar Incorporated (Perak) kekal komited dalam menyokong segenap agenda pembangunan Kerajaan Negeri, khususnya dalam usaha melestarikan sumber alam yang berharga ini, demi menjamin kesejahteraan alam sekitar dan kemakmuran masyarakat.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak