DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Terdahulu daripada itu, DYMM Tuanku telah berkenan menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha secara berjemaah bersama lebih 1,000 orang jemaah di Masjid Sultan Idris Shah II.
Seterusnya, DYMM Tuanku berkenan berangkat ke Dewan Bandaran Ipoh bagi menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha Peringkat Negeri, dengan turut berkenan bersantap dan bersantun bersama para pemimpin serta masyarakat setempat.
Semoga sambutan pada tahun ini berupaya menghidupkan semula nilai-nilai pengorbanan, ketakwaan dan kasih sayang yang menjadi teras Aidiladha, sekaligus menjadi wahana dalam membina masyarakat yang makmur dan sejahtera.