Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima lawatan kerja persampelan lapangan bagi projek penyelidikan di bawah Strategic Research Fund (SRF) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Tapak Repositori, Mukim Belanja, baru-baru ini.
Lawatan tersebut tertumpu kepada projek penyelidikan bertajuk “Upcycling of Microplastics in Electron Beam Functionalised Carbon Nano-Material Production for Antimicrobial and NORM Barrier Construction Coating”.
Projek penyelidikan ini diketuai oleh Ts. Dr. Hamzah Harun, Pegawai Penyelidik Kumpulan Sintesis & Pematangan Sinaran, Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran, Agensi Nuklear Malaysia, bersama pasukan penyelidik dan teknikal yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaannya.
Sesi lawatan ini merupakan elemen penting dalam proses penyelidikan bagi menilai keberkesanan produk salutan yang dihasilkan, khususnya dalam menentukan kapasiti dan keupayaannya sebagai lapisan penghalang terhadap pencemaran berkaitan radon dan NORM di lokasi sebenar.
Lawatan ini bukan sahaja mengukuhkan kerjasama strategik antara MB Inc. Perak dan Agensi Nuklear Malaysia, malah mencerminkan komitmen berterusan MB Inc. Perak dalam mematuhi piawaian keselamatan, kelestarian dan inovasi teknologi demi kesejahteran negeri.