Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran telah mengambil langkah proaktif dalam membangun modal insan korporat menerusi penganjuran Sesi Pengenalan Khas Program Sijil Profesional Pengurusan Organisasi (SPPO).
Dilaksanakan dengan kerjasama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), program SPPO ini direka sebagai platform pendedahan awal yang menggabungkan pendekatan pembelajaran praktikal, interaktif dan berorientasikan impak.
Program SPPO distrukturkan secara menyeluruh kepada dua sesi yang menyasar kelompok peserta berbeza, di mana sesi pertama menghimpunkan barisan pengurusan kanan MB Inc. Perak dengan tumpuan khusus terhadap aspek Pengurusan Tekanan dan Motivasi.
Sesi kedua pula memberi fokus kepada barisan eksekutif syarikat melalui perbincangan berkenaan Tingkah Laku Organisasi dan Prestasi Kerja yang merangkumi dinamika dalaman organisasi serta kesannya terhadap produktiviti dan kecemerlangan prestasi.
Melalui program yang dirancang dengan teliti ini, MB Inc. Perak sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai sebuah entiti korporat Kerajaan Negeri yang sentiasa mengutamakan pembangunan holistik warganya demi memacu kecemerlangan organisasi secara berterusan.