DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad dan YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato' Seri Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid.
Turut hadir ialah YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-Orang Besar Jajahan Negeri; Ahli-Ahli Dewan Negara; YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Istiadat dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak dan pengibaran Bendera Peribadi DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, diiringi oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Kedah.
DYMM Tuanku seterusnya berkenan memeriksa perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga orang pegawai dan 103 orang anggota lain-lain pangkat dari Pasukan Gerakan Am Briged (PGA) Utara Ulu Kinta.
Dalam Titah DiRaja, Baginda bertitah bahawa negeri Perak telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM15.75 bilion pada tahun 2025 merangkumi 560 projek, manakala kutipan hasil negeri turut mencecah hampir RM1.49 bilion dengan lebihan akaun hasil disatukan bagi empat tahun berturut-turut.
“Pencapaian membanggakan ini membolehkan kerajaan Beta memperuntukkan RM1.61 bilion bagi perbelanjaan negeri pada tahun 2026, sekaligus menjadikannya peruntukan tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah pentadbiran negeri,” titah DYMM Tuanku.
Dalam kesempatan yang sama, DYMM Tuanku menekankan betapa pentingnya perpaduan seluruh lapisan rakyat dalam menghadapi pelbagai cabaran global yang kian kompleks, serta menggesa semua pihak agar bersatu padu dan bekerjasama demi memelihara kestabilan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Semoga titah DYMM Tuanku itu senantiasa menjadi pedoman dan sumber ilham yang ampuh bagi seluruh lapisan kepimpinan negeri dalam memperkukuh azam dan menyumbang nilai tambah ke arah merealisasikan aspirasi Perak sebagai sebuah negeri yang maju, berdaya saing dan sejahtera menjelang tahun 2030.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak