DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2026 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Sebelum itu, DYMM Tuanku berkenan berangkat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar bersama-sama lebih 1,000 orang jemaah yang terdiri daripada barisan pentadbiran Kerajaan Negeri serta masyarakat setempat.
Seusai menunaikan solat, DYMM Tuanku seterusnya berkenan menziarahi Makam DiRaja di Bukit Chandan sebelum berangkat ke santapan sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama seluruh barisan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Majlis ini bukan sahaja mencerminkan kemurnian tradisi, malah turut memperkukuh jalinan silaturahim antara institusi diraja dengan rakyat serta pentadbiran Kerajaan Negeri, sekaligus menjadi lambang perpaduan dan kesyukuran dalam menyambut ketibaan Syawal yang penuh berkat.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak