DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Jamek Kampung Jeram, Kampar.
Turut mengiringi keberangkatan DYMM Tuanku, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd. Annuar bin Zaini.
Hadir sama ialah YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Pada majlis tersebut, DYMM Tuanku berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok tanjung serta membuka tirai plak sebagai simbolik perasmian masjid berkenaan.
DYMM Tuanku kemudiannya turut berkenan berbuka puasa bersama lebih 350 hadirin, sebelum bersama-sama menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah bersama para jemputan.
Masjid Jamek Kampung Jeram pada asalnya merupakan sebuah masjid kayu yang terletak di Gunung Tunggal, Simpang Keboi, yang menampilkan keindahan seni bina tradisional Melayu dengan bumbung piramid dua tingkat dan menara kecil, serta telah diwartakan sebagai institusi agama rasmi Mukim Kampar sejak tahun 1934.
Semoga Masjid Jamek Kampung Jeram terus menjadi nadi keagamaan yang subur dalam kehidupan bermasyarakat, sekaligus menyuburkan semangat perpaduan dan memperkukuhkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan penduduk setempat.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak