DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menerima zakat perniagaan daripada Menteri Besar Incorporated (Perak) berjumlah RM1 juta di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Turut mengiringi keberangkatan DYMM Tuanku, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; serta DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ahli-Ahli Dewan Negara Perak serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
DYMM Tuanku turut berkenan menerima zakat perniagaan daripada enam buah syarikat korporat lain iaitu Jakel Ipoh, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Royal College of Medicine Perak dan SS Trend Trading, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan daripada ketujuh-tujuh syarikat ini mencecah RM7.87 juta.
DYMM Tuanku kemudiannya berkenan menyerahkan keseluruhan zakat tersebut kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd. Annuar bin Zaini dalam majlis yang disempurnakan sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Exco, Orang Besar Perak, Ahli Dewan Negara Perak, Ahli Dewan Negeri Perak dan Ketua Jabatan.
Sumbangan zakat perniagaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negeri yang berterusan, sekaligus merealisasikan aspirasi menjadikan Perak sebuah negeri yang lebih makmur, sejahtera dan mampan.