Menteri Besar Incorporated (Perak) menerima pengiktirafan sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang pertama diberi Sijil Perakuan Latihan Safety Induction for Tourism Industry daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Perak, membuktikan kecemerlangan komitmennya terhadap piawaian keselamatan pekerjaan.
Penyampaian sijil ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan kepada Ts. Muhammad Amirul Md Noor, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak pada Majlis Penutupan KESUMA Bersama Rakyat: Karnival Teknologi & Kreativiti JTM 2026.
Turut hadir ialah, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, YB Encik The Kok Lim; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Encik Sutekno bin Ahmad Belon; serta Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Rospiagos bin Taha.
Pengiktirafan ini adalah hasil daripada pelaksanaan latihan komprehensif yang dianjurkan oleh NIOSH Perak kepada warga kerja MB Inc. Perak yang dipilih sebagai perintis program ini, menandakan kejayaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) NIOSH Perak dalam memperkasakan budaya keselamatan di sektor pelancongan negeri.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen teguh dan deretan usaha berterusan MB Inc. Perak menerusi pelbagai inisiatif proaktif yang dilaksanakan secara konsisten, termasuk penganjuran aktiviti dan program khusus bagi warga kerjanya dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.