Menteri Besar Incorporated (Perak) menerima lawatan strategik delegasi Kementerian Kesihatan Malaysia yang diketuai oleh Cawangan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS), Jabatan Kesihatan Negeri Perak ke Tapak Repositori, Mukim Belanja, satu inisiatif penting dalam memperkukuh pemahaman mengenai pengurusan sisa radioaktif di peringkat nasional.
Lawatan ini direka khusus untuk mendedahkan para delegasi kepada sistem pengurusan sisa radioaktif yang komprehensif, merangkumi kaedah pemantauan bertanggungjawab serta pelaksanaan langkah keselamatan operasi tapak yang dikawal selia secara ketat oleh MB Inc. Perak.
Turut hadir ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam (PPKA) dan Ketua Cawangan Kesihatan Pekerjaan & Alam Sekitar Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Adliah binti Mohamed Soid; Penyelia Perlindungan Sinaran MB Inc. Perak, Puan Nur Ain Abd Razak; serta para delegasi daripada KKM.
Delegasi terdiri daripada PPKA dari setiap negeri dan Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memegang portfolio kritikal dalam bidang Kesihatan Pekerjaan dan Kesihatan Persekitaran, menjadikan lawatan ini platform strategik untuk perkongsian kepakaran dan penambahbaikan amalan terbaik.
Lawatan ini bukan sahaja memperlihatkan kecemerlangan MB Inc. Perak dalam pengurusan sisa radioaktif yang mematuhi piawaian keselamatan tertinggi, malah mengukuhkan kepercayaan pihak berkuasa kesihatan negara terhadap kapasiti dan kredibiliti Perak sebagai peneraju pengurusan alam sekitar yang mampan dan bertanggungjawab.