Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Negeri Perak 1447H/2026M.
Turut mengiringi keberangkatan DYMM Tuanku ialah DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Dalam majlis tersebut, DYMM Tuanku berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi kedua-dua kategori Tilawah dan Hafazan yang telah menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam penguasaan bacaan dan hafalan kitab suci Al-Quran.
Para johan qari dan qariah serta johan hafiz dan hafizah bagi setiap tahap akan meneruskan perjuangan mereka dengan mewakili negeri Perak di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di negeri Terengganu pada 13 hingga 18 April 2026.
Penyertaan para peserta yang memperlihatkan bakat dan kemahiran tinggi dalam pertandingan kali ini memberi harapan jitu bahawa tradisi kecemerlangan negeri Perak dalam bidang Al-Quran akan terus terpelihara, berkembang maju dan menjadi warisan berharga untuk generasi akan datang.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak