YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah merasmikan Makmal Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Zantat Poly+CalInnovation Lab yang beroperasi di kawasan industri batu kapur Keramat Pulai, hari ini.
Makmal berteknologi tinggi ini bakal menjadi jambatan strategik yang menghubungkan dunia akademik dengan sektor industri, sekaligus memacu pembangunan bahan inovatif berasaskan kalsium karbonat dan produk mesra alam yang memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan.
Hadir sama ialah YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Puan Sandrea Ng Shy Ching; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta barisan pengurusan kanan Zantat Holdings Bhd.
MB Inc. Perak selaku peneraju industri mineral negeri memberikan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh ekosistem industri mineral Perak menerusi pelaburan strategik ini, sejajar dengan komitmen memartabatkan sektor mineral sebagai tulang belakang ekonomi negeri.
Dengan pelancaran makmal ini, Perak sekali lagi membuktikan kredibiliti sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor industri mineral berasaskan penyelidikan dan pembangunan, sekaligus mengukuhkan kedudukan negeri di barisan hadapan dalam menerajui agenda revolusi industri hijau Malaysia.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak