Menteri Besar Incorporated (Perak) menganjurkan Majlis Makan Malam bersama YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Delegasi Kerajaan Negeri Perlis di Restoran Pakeeza, Ipoh sebagai penghargaan dan penutup rasmi lawatan kerja selama dua hari ini.
Lawatan kerja ini menjadi manifestasi nyata komitmen berterusan kedua-dua negeri dalam mengukuhkan jalinan kerjasama strategik, khususnya bagi memantapkan tadbir urus cemerlang dan memacu pembangunan ekonomi yang mampan di negeri masing-masing.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri bin Ramli; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan Perlis; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta barisan Pengurusan Kanan Jabatan dan Agensi Negeri Perak dan Perlis.
Majlis makan malam ini turut menyediakan ruang istimewa bagi kedua-dua pihak mendalami peluang kerjasama yang saling menguntungkan menerusi perbincangan terbuka dan berfokus.
Sepanjang lawatan produktif selama dua hari ini, delegasi Kerajaan Negeri Perlis berpeluang meneliti sendiri pencapaian cemerlang MB Inc. Perak melalui lawatan kerja ke Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) dan Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5) yang telah berjaya dilaksanakan.
Pertukaran ilmu dan pengalaman berharga sepanjang lawatan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada kedua-dua negeri dalam merancang dan melaksanakan agenda pembangunan yang lebih holistik dan berdaya tahan pada masa hadapan.