Dalam usaha memperkukuh kerjasama antara negeri dan perkongsian kepakaran pengurusan sumber mineral, Menteri Besar Incorporated (Perak) telah dijemput menyampaikan taklimat khusus kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Royal Perak Golf Club (RPGC), Ipoh.
Taklimat tersebut terarah kepada pembentangan komprehensif mengenai pengurusan sumber mineral oleh MB Inc. Perak selaku peneraju industri mineral negeri, yang memberi pendedahan tentang pendekatan strategik dan tatakelola terbaik dalam memastikan pengurusan sumber mineral yang bertanggungjawab dan mampan.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri bin Ramli; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato' Rahimi bin Ismail; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta barisan Pengurusan Kanan Jabatan dan Agensi Negeri Perlis.
Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bahagian Kerajaan Tempatan, turut dijemput mengemukakan pembentangan mengenai pelbagai aspek pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Negeri yang relevan.
Inisiatif perkongsian ilmu dan pengalaman ini memperlihatkan komitmen bersama dalam meningkatkan tadbir urus yang cemerlang serta memperkasa pembangunan ekonomi negeri masing-masing menerusi pengurusan sumber yang cekap, berkesan dan bertanggungjawab.