Menteri Besar Incorporated (Perak) menerima lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Perlis ke Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan strategik dan kerjasama antara kedua-dua negeri bagi memajukan sektor industri mineral.
Lawatan ini menjadi agenda utama kunjungan rasmi delegasi Perlis ke Perak, sekaligus memperlihatkan komitmen bersama untuk memperkasa kolaborasi dalam pembangunan sektor mineral secara khusus.
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan, dan Hubungan Sempadan Negeri Perlis, Encik Izizam bin Ibrahim; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis; serta Encik Mohd Ridzuan Marsidi dan Ts. Haji Zul Helmi Ghazali selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Para delegasi memperoleh pendedahan menyeluruh mengenai operasi dan peranan strategik TML sebagai makmal analisis NR-REE komersial pertama di Malaysia, lantas membuka ruang pemahaman mendalam tentang fungsi TML sebagai pemangkin ekosistem industri mineral di peringkat negeri dan nasional.
Lawatan ini membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka kerjasama lebih erat dalam sektor mineral, merangkumi perkongsian kepakaran teknikal, penyelidikan dan pembangunan, serta pemerkasaan modal insan.
Inisiatif ini diharap mampu menjana impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan menyumbang kepada agenda pembangunan mineral negara.