Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengambil bahagian secara aktif dalam Simposium Mineral ke-11 (SIMPOMIN 2025) bertemakan "Unlocking Mineral Value: Innovate, Invest, Grow" yang berlangsung pada 1 hingga 2 Oktober 2025 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh baru-baru ini.
Simposium tahunan yang kini memasuki edisi ke-11 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YBhg. Datuk Mas Rizal bin Mohd Hilmi, sekaligus mengiktiraf peranan penting industri mineral dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
SIMPOMIN 2025 menyediakan platform bertaraf tinggi yang mempertemukan penyelidik, ahli akademik dan pemain industri bagi mempamerkan penemuan penyelidikan terkini serta bertukar-tukar idea, ilmu dan pengalaman mengenai teknologi progresif yang relevan dengan industri mineral.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, YBhg. Datuk PGeol. Zamri Ramli; Pengarah JMG Malaysia Negeri Perak, YBrs. Tuan Haji Nizarulikram bin Abdul Rahim; serta Encik Anas Ady Yaacob selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
MB Inc. Perak melalui anak syarikat milik penuhnya, Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), turut membuka reruai pameran sepanjang tempoh SIMPOMIN 2025 berlangsung, mencerminkan komitmen MB Inc. Perak dalam memperkasa industri mineral negeri melalui penyediaan perkhidmatan analisis NR-REE, pelbagai mineral lain serta sokongan teknikal kepada industri.
Penyertaan MB Inc. Perak dalam SIMPOMIN 2025 ini selaras dengan visi pembangunan negeri Perak menjadikan industri mineral sebagai salah satu teras penting ekonomi negeri, di samping memastikan industri ini berkembang secara mampan dan bertanggungjawab dengan mengamalkan amalan terbaik serta teknologi terkini.