Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengambil bahagian secara aktif dalam Dialog Belanjawan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 yang berlangsung di Royal Perak Golf Club, Ipoh baru-baru ini.
Sesi dialog ini menumpukan kepada pembentangan pelan strategik dan hala tuju belanjawan negeri yang diketuai oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, sebelum dibentangkan secara terperinci pada penghujung tahun ini.
Hadir sama, YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak.
Dialog interaktif dan produktif ini berjaya menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan utama, termasuk barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri, serta wakil-wakil pemegang taruh berkaitan.
Penglibatan menyeluruh ini bertujuan mengumpul input bernas dan pandangan komprehensif daripada semua lapisan pemegang taruh bagi memastikan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan kelak bersifat holistik, inklusif dan mampu memenuhi aspirasi rakyat Perak.
Menerusi platform dialog ini, Kerajaan Negeri menegaskan komitmen untuk mempamerkan pendekatan tadbir urus yang telus dan inklusif dalam merancang masa depan ekonomi negeri, sekaligus membangunkan Perak secara progresif dengan mengambil kira keperluan semua sektor.