Menteri Besar Incorporated (Perak) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Encik Mohd Al-Hafizi bin Hj. Abu Bakar di Ibu Pejabat Kraftangan Malaysia hari ini.
Pertemuan strategik ini menumpukan perbincangan kepada hala tuju Batik Perak bermotifkan Bunga Kelumpang sebagai identiti rasmi negeri Perak.
Inisiatif ini bukan sahaja bakal memperkukuh jati diri warisan tempatan, malah turut meletakkan Perak seiring dengan negeri-negeri lain di Malaysia yang telah memiliki motif bunga tersendiri sebagai identiti unik dalam industri batik tanah air.
Hadir sama, Encik Kamarulariffin Haji Ayub selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta barisan pengurusan daripada Kraftangan Malaysia dan MB Inc. Perak.
Kunjungan ini turut membuka lembaran baharu dalam menjalin kerjasama yang lebih erat dan komprehensif antara kedua-dua pihak bagi memastikan Batik Perak dipromosikan secara meluas di Malaysia khususnya, dan di persada antarabangsa amnya.
Semoga usaha murni ini dapat mengangkat industri kraftangan tempatan ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi, sekaligus memberi impak positif kepada ekonomi rakyat dan pemeliharaan warisan budaya bangsa.