Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Perlis di Ibu Pejabat MB Inc. Perak, baru-baru ini.
Kunjungan strategik ini merupakan suatu lawatan penanda aras yang dijalankan oleh delegasi negeri Perlis dalam usaha mereka untuk memperkasakan kecekapan pentadbiran dan meningkatkan kualiti pengoperasian.
Turut hadir, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Encik Yang Zaimey bin Yang Ghazali; Pengurus SSI Perlis, Encik Mohd Faridzul bin Yop; serta Encik Kamarulariffin Haji Ayub selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Sepanjang kunjungan, delegasi SSI Perlis telah diberikan pendedahan menyeluruh mengenai model operasi dan strategi pengurusan yang diamalkan oleh MB Inc. Perak sambil membuka ruang untuk kedua-dua pihak menerokai peluang kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.
Kunjungan hormat ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan rangkaian kerjasama yang lebih kukuh antara kedua-dua entiti korporat negeri, sekaligus menyumbang kepada agenda pembangunan yang mampan dan inklusif.