YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad hari ini merasmikan pelancaran jersi baharu Perak FA bagi Liga A1 Semi-Pro Musim 2025/26 di Al-Ikhsan Outlet, Ipoh Parade.
Pelancaran jersi baharu ini melambangkan semangat pembaharuan, tekad yang diperkasa dan aspirasi tinggi untuk memastikan Perak FA terus mendominasi arena bola sepak tempatan sebagai simbol kebanggaan dan identiti yang mengilhamkan prestasi cemerlang.
Turut hadir ialah YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), YBhg. Datuk Wira Mohd. Yusoff Hj. Mahidi; Presiden Persatuan Bola Sepak Perak Darul Ridzuan (PAFA), YBhg. Dato’ Hj. Mohd Azhar bin Jamaluddin; serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Dalam memperkasakan pembangunan sukan negeri, Menteri Besar Incorporated (Perak) selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri turut tampil sebagai Rakan Strategik kepada pasukan bola sepak Perak FA bagi mengangkat martabat bola sepak negeri ke tahap kecemerlangan baharu.
Dengan pelancaran jersi baharu ini, Perak FA kini bersiap sedia untuk menempa sejarah gemilang dalam Liga A1 Semi-Pro, membawa impian dan harapan seluruh rakyat Perak ke medan perjuangan yang akan menentukan masa depan bola sepak negeri.