DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447H Peringkat Negeri Perak, baru-baru ini.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; dan YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, serta para Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Majlis dimulakan dengan lantunan ayat-ayat suci al-Quran, diikuti dengan bacaan selawat yang penuh penghayatan sebagai manifestasi kecintaan dan penghormatan tidak terhingga kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Dalam majlis ini, DYMM Tuanku turut berkenan menyampaikan anugerah-anugerah istimewa sempena sambutan Maulidur Rasul, termasuk Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali), dan pelbagai anugerah lain yang mengiktiraf sumbangan murni individu-individu yang telah berjasa dalam menyebarkan syiar Islam.
Majlis sambutan ini menjadi momentum penting untuk memperkasa semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW dan mengukuhkan jatidiri sebagai umat Islam, sekaligus menjadi wadah yang berkesan untuk memperkukuh ukhuwah Islamiah serta menyatukan ummah dalam perpaduan yang utuh dan harmoni.
Diharapkan semangat dan nilai-nilai murni yang terpancar daripada sambutan Maulidur Rasul ini akan terus menjadi sumber inspirasi dan kekuatan kepada seluruh rakyat Perak dalam menghayati ajaran Islam secara menyeluruh.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak