Dalam suasana yang penuh semangat menyambut Hari Kemerdekaan ke-68 Malaysia, Menteri Besar Incorporated (Perak) melalui Kelab Warga Kerja MB Inc. Perak (CRESTERS) telah berjaya menganjurkan MB Inc. Tradisi Fun Run 2025 bertemakan “Larian Bergaya, Raikan Budaya”, hari ini.
Acara yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru ini menyaksikan penyertaan yang memberangsangkan daripada lebih 70 orang warga kerja MB Inc. Perak yang hadir dengan semangat patriotisme.
Program bermula seawal jam 9 pagi dengan nyanyian lagu kebangsaan “Negaraku” dan lagu negeri Perak, diikuti sesi taklimat ringkas program serta aktiviti senamrobik sebagai pemanasan sebelum acara utama dimulakan.
Majlis perasmian flag-off telah dirasmikan oleh Encik Wan Mohd Kamarulhisham bin Wan Jusoh selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak, yang turut mengambil bahagian secara aktif dalam larian sejauh 5 kilometer bersama seluruh peserta.
Keunikan program ini terletak pada konsep “Larian Bergaya, Raikan Budaya” yang menggalakkan peserta tampil dengan pakaian bertemakan budaya Malaysia, sekaligus memperlihatkan kepelbagaian warisan budaya yang kaya dan berwarna-warni negara kita.
Program sebegini diharapkan dapat terus diadakan pada masa hadapan sebagai platform untuk mengukuhkan semangat kekitaan dan perpaduan di kalangan warga kerja, sekaligus memartabatkan khazanah budaya Malaysia yang tidak ternilai.