DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Beradat Perkhidmatan Awam Negeri Perak Tahun 2025, baru-baru ini.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; serta DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzan Shah.
Majlis turut dihadiri, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri; serta Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri.
Majlis ini memperlihatkan kerjasama strategik yang erat antara Kerajaan Negeri Perak dengan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Cawangan Perak bagi meraikan dan mengiktiraf sumbangan warga perkhidmatan awam negeri Perak yang telah berdedikasi dalam membangunkan negeri tercinta.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada majlis ini menggambarkan penghargaan yang mendalam dan pengiktirafan tertinggi terhadap peranan yang dimainkan oleh setiap penjawat awam dalam menyokong dan melaksanakan misi serta visi pentadbiran negeri.
Majlis ini sekaligus menjadi saksi kepada komitmen berterusan institusi diraja dalam menyokong usaha pembangunan negeri melalui penghargaan terhadap mereka yang berkhidmat di barisan hadapan pentadbiran awam. Semoga usaha ini dapat terus diperkukuh untuk mencapai kecemerlangan dalam pentadbiran negeri Perak.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak