Menteri Besar Incorporated (Perak) sekali lagi membuktikan komitmen berterusannya dalam menyokong pelaksanaan ibadah korban melalui sumbangan sebanyak 50 ekor lembu kepada Kerajaan Negeri Perak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Majlis Akad Penyerahan Sumbangan Lembu Korban Tahun 2025 yang berlangsung di Casuarina Meru, Ipoh pada hari ini telah menyaksikan penyerahan simbolik sejumlah 436 ekor lembu korban daripada lima Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri.
Dalam majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi MB Inc. Perak telah menerima penyerahan mock cheque sumbangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato' Anuar Zainal Abidin.
Inisiatif tahunan ini bukan sahaja mencerminkan tahap tanggungjawab sosial korporat yang tinggi dalam kalangan GLC negeri, bahkan turut memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat majmuk Perak.
Majlis pada hari ini juga melambangkan semangat pengorbanan dan perkongsian yang menjadi intipati sambutan Aidiladha. Nilai-nilai murni ini diharapkan dapat terus dipupuk dan diamalkan dalam kalangan seluruh masyarakat Perak.