DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di Lot 3122, Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah, PPN Perak.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; dan YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid.
Majlis turut dihadiri, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad bin Sabu; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Pembangunan semula pusat strategik ini merupakan manifestasi konkrit daripada aspirasi kerajaan untuk memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran benih padi sah yang mencukupi, berkualiti tinggi, dan mudah diakses oleh komuniti pesawah di seluruh negara.
Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak yang dibangunkan dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM12.72 juta ini mampu mencapai kapasiti pengeluaran 5,000 tan metrik benih padi sah setahun dan dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang Mei 2025.
Sebagai salah satu daripada empat pusat baharu yang dibangunkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang, inisiatif ini merupakan langkah strategik dalam usaha memperkasa ekosistem benih padi sah negara, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal pihak ketiga secara signifikan.
Melalui pembangunan semula pusat ini, diharapkan kerjasama erat dengan rakan kongsi tempatan, nasional dan global dapat diperkukuhkan. Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak dihasratkan untuk menjadi pusat rujukan unggul yang menyediakan benih padi sah berkualiti premium yang memenuhi keperluan komuniti pesawah secara berterusan dan mampan.