Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), anak syarikat milik penuh Menteri Besar Incorporated (Perak), telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Shikata Noriyuki, baru-baru ini.
Kunjungan strategik ini merupakan sebahagian daripada rangkaian Lawatan Rasmi Kedutaan Jepun ke negeri Perak yang dirancang khusus untuk meneroka potensi kerjasama berimpak tinggi pada masa hadapan.
Delegasi Kedutaan Jepun disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato' Anuar Zainal Abidin; diiringi Setiausaha Sulit kepada YAB Menteri Besar Perak, Encik Asad Safwan bin Mazlan; serta barisan Pengurusan Kanan MB Inc. Perak dan TML.
Lawatan bersejarah ini menzahirkan komitmen kukuh kedua-dua pihak dalam memperkasa hubungan strategik Malaysia-Jepun, khususnya dalam sektor teknologi mineral dan pembangunan lestari sumber bumi.
Sepanjang sesi lawatan, delegasi dibekalkan dengan taklimat komprehensif mengenai kepakaran teknikal dan keupayaan TML, merangkumi perkhidmatan analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), analisis geokimia termaju serta penyediaan sampel yang mematuhi piawaian industri antarabangsa.
Pertemuan bermakna ini turut membuka ruang dialog strategik berkenaan pemindahan teknologi, inisiatif penyelidikan kolaboratif serta pelaburan bernilai tinggi dalam rantaian nilai industri mineral. Usaha ini selari dengan aspirasi negeri Perak untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab sumber mineral strategik utama di Malaysia.