DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim telah berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad dan YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid.
Istiadat turut dihadiri oleh YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Orang-Orang Besar Jajahan Negeri Perak; Ahli-Ahli Dewan Negara; YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Istiadat dimulakan dengan alunan lagu kebesaran negeri Perak dan pengibaran Bendera Peribadi Sultan sebelum DYMM Tuanku berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen yang diketuai oleh Mejar Mohd Nurul Hasan.
Dalam Titah DiRaja, DYMM Tuanku bertitah bahawa hasil negeri Perak bagi tahun 2024 telah mencatatkan peningkatan yang amat ketara kepada RM1.3 bilion. Antara faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan memberangsangkan ini ialah penerimaan royalti daripada industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang dijangka memberi sumbangan hasil baharu yang signifikan kepada perbendaharaan negeri.
Di kesempatan itu juga, Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah menzahirkan rasa dukacita yang mendalam dan ucapan takziah atas pemergian Perdana Menteri Malaysia Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin. Semoga roh-roh Allahyarham dilimpahi rahmat ihsan Ilahi, ditempatkan dalam kalangan roh para solihin.
Titah penuh hikmah dan kebijaksanaan DYMM Tuanku menjadi pedoman yang amat berharga serta sumber ilham yang ampuh kepada seluruh kepimpinan negeri. Semoga amanat tersebut terus menyuntik semangat perjuangan, memperkukuh tekad yang jitu dan memberi nilai tambah yang bermakna dalam merealisasikan aspirasi murni untuk menjadikan Perak sebuah negeri yang maju, berdaya saing, lestari dan sejahtera menjelang tahun 2030.