DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Majlis turut dihadiri, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Sambutan pada tahun ini jelas menggambarkan semangat berbilang kaum yang telah dibanjiri oleh lebih 20,000 masyarakat di negeri Perak yang telah disajikan dengan pelbagai juadah raya.
Pada majlis sama, Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada penghuni rumah kebajikan anak yatim Vision Home, Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak Yatim & Miskin Anning, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam dan Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz Kuala Kangsar.
Tidak ketinggalan, Menteri Besar Incorporated (Perak) turut terlibat dalam majlis tersebut dengan berkongsi kemeriahan membuka gerai laksa bersama barisan agensi Kerajaan Negeri lain bagi menyediakan pelbagai juadah raya kepada seluruh masyarakat yang hadir.
Semoga menerusi sambutan majlis pada hari ini dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan, keamanan dan keharmonian di kalangan masyarakat negeri Perak secara menyeluruh.