Menteri Besar Incorporated (Perak) menerusi Kelab Rekreasi Warga Kerja MB Inc. Perak (Cresters) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Cenderahati dan Perutusan Raya yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato' Anuar Zainal Abidin, baru-baru ini.
Dalam ucaptamanya, beliau menekankan kepentingan penghayatan nilai-nilai kesyukuran dan kebersamaan dalam konteks pembangunan holistik syarikat. Setiap warga kerja diingatkan untuk mengambil iktibar daripada semangat Aidilfitri yang mengajar erti kemaafan, kesederhanaan, dan kecemerlangan dalam mengatasi rintangan diri.
Majlis ini dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi dan warga kerja MB Inc. Perak yang menerima cenderahati raya yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif sebagai lambang penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan mereka dalam memacu pembangunan prestasi syarikat.
Pada kesempatan tersebut, beliau turut mengetengahkan pencapaian MB Inc. Perak sepanjang tahun lalu serta menggariskan hala tuju strategik baharu yang akan dilaksanakan secara berperingkat. Inisiatif ini bakal melonjakkan produktiviti dan keberkesanan syarikat dalam merealisasikan visi dan misi Perak Sejahtera 2030.
Majlis tahunan yang kini menjadi tradisi bukan sekadar medan penyampaian perutusan rasmi, malah berperanan sebagai platform strategik dalam memupuk semangat kekitaan dan mengukuhkan jalinan silaturahim antara pihak pengurusan tertinggi dan warga kerja MB Inc. Perak.