DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Jamek Matang Gerdu dan Majlis Berbuka Puasa di Daerah Bagan Serai baru-baru ini.
Keberangkatan DYMM Tuanku diiringi oleh YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah.
Majlis turut dihadiri YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, YABhg. Jen. Dato' Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
DYMM Tuanku kemudiannya berkenan menunaikan solat Maghrib dan berbuka puasa bersama kira-kira 1,200 jemaah yang hadir, terdiri daripada barisan kepimpinan pentadbiran negeri Perak dan penduduk Daerah Bagan Serai, diikuti dengan solat Isyak serta solat sunat tarawih.
Masjid yang mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa dan memperlihatkan keunikan seni bina nusantara ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat, sekaligus menyuburkan semangat perpaduan dan memperkukuhkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan penduduk setempat.