DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Tuminah Hamidi dan Majlis Berbuka Puasa di Daerah Bagan Datuk baru-baru ini.
Keberangkatan DYMM Tuanku disambut oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad.
Majlis turut dihadiri Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, YABhg. Jen. Dato' Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Dalam majlis yang penuh bermakna itu, DYMM Tuanku berkenan menyempurnakan penanaman pokok bunga tanjung sebagai simbolik perasmian masjid berkenaan. Baginda kemudiannya menyertai bacaan doa selamat dan berbuka puasa bersama lebih 2,500 jemaah yang hadir.
DYMM Tuanku turut berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah bersama barisan pentadbiran negeri Perak dan penduduk Daerah Bagan Datuk.
Kompleks Masjid Tuminah Hamidi yang mempamerkan konsep unik masjid terapung di tepian Sungai Perak ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden termasuk dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran serta bilik persidangan dua tingkat.
Pembinaan masjid yang berseni bina indah ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada penghayatan nilai-nilai Islam yang lebih mendalam dalam kehidupan bermasyarakat, sekaligus menyuburkan semangat perpaduan dan memperkukuh ukhuwah Islamiah dalam kalangan penduduk setempat.