DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, baru-baru ini.
Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku diiringi oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim.
Majlis turut dihadiri, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Orang Besar Jajahan Negeri Perak; Ahli-Ahli Dewan Negara; YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Sempena majlis tersebut, DYMM Tuanku berkenan menerima penyerahan zakat daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri. Majlis kemudiannya diteruskan dengan santapan berbuka puasa dan solat sunat tarawih.
Majlis berbuka puasa ini bukan sekadar tradisi tahunan, malah merupakan manifestasi keprihatinan institusi kesultanan terhadap pembangunan pentadbiran negeri yang cemerlang dan berteraskan kesejahteraan rakyat. Ia juga menjadi lambang kesyukuran bersama dalam bulan Ramadan yang dimuliakan, sekaligus mengukuhkan hubungan harmoni antara institusi diraja dengan barisan pentadbiran negeri Perak.