Delegasi Kementerian Kewangan (MOF) bersama Pejabat Kewangan Negeri Perak telah mengadakan lawatan industri ke Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) baru-baru ini, dalam melihat perkembangan pesat industri Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di negeri Perak.
Lawatan strategik ini bertujuan memberikan pendedahan komprehensif mengenai kemajuan terkini pembangunan NR-REE di Perak yang kini telah berkembang daripada peringkat huluan hingga ke peringkat pertengahan.
Ts. Haji Zul Helmi Ghazali, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak, telah memberikan penerangan terperinci mengenai setiap proses sepanjang lawatan berlangsung.
Selain itu, lawatan ini turut membincangkan aspek-aspek penting berkaitan usaha memperoleh sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, sambil menggarap idea bernas daripada semua pihak untuk memperkasakan industri NR-REE bukan sahaja di Perak, malah di seluruh Malaysia.
Lawatan ini membuktikan komitmen kukuh Kerajaan Persekutuan dalam menyokong inisiatif Kerajaan Negeri untuk memantapkan keseluruhan rantaian nilai industri NR-REE, selaras dengan aspirasi nasional untuk memaksimumkan potensi sumber mineral strategik ini demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.