Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), anak syarikat milik penuh Menteri Besar Incorporated (Perak), telah menerima kunjungan delegasi Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia) dan Agensi Nuklear Malaysia, hari ini.
Lawatan ini bertujuan menyelami aspek operasi TML secara menyeluruh, merangkumi latar belakang syarikat, perkhidmatan yang ditawarkan, serta kepakaran dalam menganalisis pelbagai sampel dan bahan mineral, khususnya unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dan mineral-mineral lain.
Delegasi Atom Malaysia diketuai oleh Penolong Pengarah Kanan, Puan Fatma Asikin binti P Ramli. Turut serta dalam lawatan ini ialah Pegawai Penyelidik Q54 Agensi Nuklear Malaysia, Encik Yii Mei Wo; dan Ts. Haji Zul Helmi Ghazali, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak.
Kunjungan strategik daripada pihak berkepentingan ini merupakan langkah penting dalam mengukuhkan kedudukan TML sebagai makmal analisis NR-REE komersial pertama di Malaysia yang beroperasi dengan amalan tadbir urus yang unggul dan menyeluruh.
Lawatan ini diharap dapat memperteguh jalinan kerjasama dua hala serta menjadi pemangkin dalam memacu pembangunan teknologi dan inovasi sektor mineral baharu yang lebih holistik, sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 ke arah kemakmuran ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.