Menteri Besar Incorporated (Perak) berserta barisan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri telah menghadiri State Leadership Retreat 2025 di Desaru Coast Conference Centre, Johor, bagi membincangkan hala tuju strategik Pelan Perak Sejahtera 2030 secara holistik.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad telah mempengerusikan program ini yang merangkumi pembentangan komprehensif dan perbincangan interaktif. Fokus utama adalah menganalisis pencapaian dan menangani cabaran dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan negeri sepanjang tahun 2024.
Hadir sama, barisan Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Encik Kamarulariffin bin Ayub, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
Sepanjang dua hari retreat berlangsung, semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri telah menyumbang maklum balas yang konstruktif. Pendekatan kolaboratif ini menjamin keselarasan dalam pelaksanaan dasar dan program di peringkat negeri.
Retreat ini dijangka menghasilkan rangka kerja strategik yang lebih mapan bagi memacu Pelan Perak Sejahtera 2030. Tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan memantapkan tadbir urus di setiap peringkat pentadbiran negeri.
Sebagai peneraju industri mineral negeri, MB Inc. Perak tetap komited untuk memperkasakan agenda Perlombongan Bertanggungjawab seperti yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030. Usaha ini akan terus memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat, sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.