Menteri Besar Incorporated (Perak) bersama delegasi negeri telah menghadiri Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Kilang Penghasilan Tin Chemical yang telah disempurnakan oleh Wakil Menteri Investasi dan Hilirasi / Wakil Kepala Badan Koordinasi Penanaman Modal Republik Indonesia, Bapak Todotua Pasaribu.
Projek transformasi sektor timah yang dipacu oleh PT Cipta Persada Mulia (CPM) melalui anak syarikat milik penuhnya, PT Batam Timah Sinergi (BTS) ini bakal mencetus perspektif baharu dalam industri hiliran timah global.
Dengan kapasiti pengeluaran yang dirancang, kilang pemprosesan hiliran ini dijangka menjadi antara yang terbesar di dunia, sekaligus mengukuhkan kedudukan Indonesia dalam rantaian nilai industri timah antarabangsa.
Lawatan kerja ini membuka lembaran baharu dalam aspirasi negeri Perak untuk memperkasa industri bijih timah negeri ke peringkat pertengahan dan hiliran. Pendekatan holistik ini akan membolehkan negeri Perak menghasilkan produk bernilai tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.
MB Inc. Perak selaku peneraju industri mineral negeri komited untuk memanfaatkan perkongsian strategik dan pemindahan teknologi daripada CPM serta pihak berkepentingan lain dalam membina semula ekosistem industri bijih timah yang bertanggungjawab dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.