Majlis Perjanjian Usahasama Pembangunan antara Menteri Besar Incorporated (Perak) dengan Younchang Engineering & Construction (M) Sdn. Bhd. bagi Projek Bagan Datuk International Fishery Industrial Park (BDIFIP) telah berlangsung dengan jayanya di Weil Hotel, Ipoh, baru-baru ini.
BDIFIP merupakan projek perindustrian perikanan bertaraf global yang dibangunkan di daerah Bagan Datuk bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri dalam sektor perikanan, makanan halal dan akuakultur, serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan.
Majlis tersebut menyaksikan penandatanganan perjanjian oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; Dato’ Anuar Zainal Abidin dan Pengerusi Eksekutif Younchang Engineering & Construction (M) Sdn. Bhd., Dato’ Seri Mohd Amim A Wahab, dengan kehadiran Pegawai Tugas-Tugas Khas III kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Haji Khairuddin Haji Tarmizi selaku saksi.
Hadir sama, rakan-rakan pelabur terdiri daripada Alam Bina Sdn Bhd; Zaaba Sdn Bhd; Ocean Rich Resources Sdn Bhd (China); Care Corporation Limited (Australia); Bagnato Seafood (Australia); Felcra Berhad; JPC Malaysia Sdn Bhd; Ocean Fresh Sdn Bhd; Hai-Shan Brothers (China); dan Dong Won Industries (Korea).
Projek berimpak tinggi ini merangkumi pembangunan taman perindustrian berpagar dan terurus, lot kedai, lot industri ringan, pusat pemprosesan tuna Korea dan industri akuakultur berteknologi tinggi, serta industri keselamatan makanan. Projek ini turut bakal menempatkan beberapa institusi kerajaan.
Pembangunan ini dijangka mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dalam pelbagai bidang, termasuk jawatan mahir, pengurusan, kejuruteraan dan teknologi.
BDIFIP diharap akan menjadi tunjang pembangunan ekonomi baharu yang memacu pertumbuhan, kemakmuran, dan inovasi, sekaligus memberikan impak signifikan kepada pembangunan ekonomi Bagan Datuk khususnya dan negeri Perak amnya.