Sekitar Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2025 yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad telah diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, baru-baru ini.
Dalam sesi perutusan tersebut, YAB Menteri Besar telah menggariskan lima fokus utama Kerajaan Negeri bagi tahun 2025, selaras dengan saranan dan aspirasi DYMM Paduka Seri Sultan Perak dalam merealisasikan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Kerajaan Negeri Perak telah mencatat pencapaian cemerlang dengan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah bernilai RM1.332 bilion pada tahun 2024. Selain itu, Perak turut menerima pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri 2023, sekali gus mengukuhkan kedudukan Perak sebagai antara lima negeri terbaik dalam aspek tadbir urus kewangan.
Majlis turut dihadiri oleh YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Mohd Khalid; barisan Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri.
MB Inc. Perak memberi komitmen untuk mendokong sepenuhnya setiap inisiatif dan strategi Kerajaan Negeri bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran ekonomi yang mampan. Melalui kerjasama erat semua pihak berkepentingan, visi Pelan Perak Sejahtera 2030 akan dapat direalisasikan secara holistik demi masa depan yang lebih gemilang.