YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menyempurnakan majlis perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs @ Bagan Datuk 2025 di Dewan Serbaguna Dato' Haji Abdullah Ahmad, Bagan Datuk hari ini. Program dua hari tersebut bermula pada 11 Januari 2025.
Karnival yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini telah berjaya disertai lebih 20 majikan dari pelbagai sektor industri. Para majikan menawarkan lebih kurang 5,400 peluang pekerjaan kepada penduduk negeri Perak.
Sempena program tersebut, MB Inc. Perak bersama rakan usaha sama strategik, Younchang Engineering & Construction (M) Sdn. Bhd., turut mengambil bahagian dengan membuka reruai yang mempromosikan projek "Bagan Datuk International Fishery Industrial Park". Usaha ini sejajar dengan pemerkasaan agenda Sekuriti Makanan yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.
Hadir sama, YB Timbalan Menteri KESUMA, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Mohd Zolkafly Harun; Pegawai Daerah Bagan Datuk, Tuan Muhamad Ghopran Yeop Hamzah; Encik Wan Mohd Kamarulhisham Wan Jusoh, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Program ini berperanan sebagai wadah strategik dalam penyaluran maklumat kerjaya, selain membuka ruang kepada para pemohon kerja untuk membina jaringan profesional yang mantap bersama bakal majikan.
MB Inc. Perak berkeyakinan bahawa inisiatif berimpak tinggi sebegini berupaya memacu pertumbuhan ekonomi dan kelestarian tenaga kerja pada masa hadapan.