Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima kunjungan hormat delegasi Mentri Besar, Trengganu (MBI) di ibu pejabat MB Inc. Perak, dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik pembangunan industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) antara kedua-dua negeri.
Sebagai perintis industri NR-REE dan satu-satunya negeri yang telah memperoleh kelulusan menyeluruh bagi operasi perlombongan NR-REE di Malaysia, Perak berkongsi pengalaman dan kepakaran teknikal dalam sektor yang kini sedang berkembang pesat.
Dalam sesi perbincangan tersebut, pihak MBI Trengganu turut menunjukkan minat terhadap kemudahan Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML), sebuah makmal analisis NR-REE komersial pertama di Malaysia. Keupayaan TML dalam menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan kandungan elemen mineral, khususnya NR-REE, menjadikannya pemain utama dalam industri ini di Malaysia.
Delegasi MBI Trengganu yang diketuai Pengurus Besar Pelaburan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Encik Mohd Adzhar bin Mohd Zahari, telah disambut oleh Ts. Haji Zul Helmi Ghazali dan Encik Mohd Ridzuan Marsidi, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta pegawai-pegawai dari MB Inc. Perak.
Kunjungan strategik ini membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Perak-Terengganu, khususnya dalam sektor NR-REE yang berpotensi tinggi, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau dalam industri unsur nadir bumi.
MB Inc. Perak beriltizam untuk meneroka pelbagai bidang kerjasama masa hadapan, merangkumi perkongsian kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti, dan penyelidikan bersama dengan negeri-negeri lain di Malaysia.