Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima kunjungan rasmi delegasi SIRIM Berhad di Ibu Pejabat MB Inc. Perak, hari ini.
Lawatan strategik ini bertujuan meneroka potensi kerjasama dalam memajukan industri mineral negeri, khususnya dalam bidang unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), dengan penekanan terhadap pembangunan sektor hiliran industri.
Delegasi SIRIM Berhad yang diketuai Penyelidik Utama, Dr. Noraishah Shamsuddin, telah disambut oleh Ts. Haji Zul Helmi Ghazali dan Encik Mohd Ridzuan Marsidi, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak; serta pegawai-pegawai dari TML.
Kejayaan MB Inc. Perak mewujudkan Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (COE) telah menjadikannya pusat rujukan utama pelbagai agensi berkaitan. TML, selaku makmal analisis NR-REE komersial pertama di Malaysia, dilengkapi teknologi termaju bagi menganalisis dan mengesahkan kandungan NR-REE dengan ketepatan tinggi.
MB Inc. Perak optimis bahawa lawatan kerja ini akan mengukuhkan hubungan dua hala, sekaligus memberikan impak signifikan dalam usaha memacu pertumbuhan industri NR-REE secara holistik dan mampan.