Satu sesi taklimat kemasukan pelajar baharu bagi Program Biasiswa Perak Corporate Leadership Apprentice Scheme (CLAS) telah berlangsung dengan jayanya di Ibu Pejabat Menteri Besar Incorporated (Perak), baru-baru ini.
Taklimat tersebut memfokuskan kepada penerangan menyeluruh berkenaan matlamat program biasiswa ini, di samping pembentangan pelan pembangunan kerjaya yang holistik. Pelan ini merangkumi beberapa aspek utama termasuk kepimpinan, komunikasi dan pembangunan profesional.
MB Inc. Perak dengan sukacitanya mengumumkan penerima biasiswa baharu, Cik Irdina Wani Fatini Abd Zaini, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Geologi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pelantikan beliau sebagai pelajar CLAS yang ke-10 telah melengkapkan keseluruhan barisan pelajar Program CLAS Kumpulan 1.
Sesi taklimat ini turut dihadiri oleh Puan Nurul Zafirah Zakaria, selaku wakil pengurusan MB Inc. Perak, bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Undang-Undang serta Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran MB Inc. Perak.
Program biasiswa CLAS menyediakan platform latihan industri yang membolehkan para pelajar menimba pengalaman dunia pekerjaan sebenar di anak-anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri. Pendedahan ini memberikan nilai tambah dan persediaan komprehensif kepada para pelajar dalam mengharungi alam kerjaya.
Sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MB Inc. Perak, program ini dirangka secara strategik untuk melahirkan generasi pemikir berkaliber yang mampu memacu kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri Perak pada masa hadapan.